Dana Kursus Bertenun Dan Jahitan Beri Impak Positif Kepada Komuniti Kampung Melanjok
SIMUNJAN: Dana bagi pelaksanaan kursus bertenun dan jahitan dilihat memberi impak positif kepada komuniti Kampung Melanjok khususnya dalam memperkasa ekonomi keluarga serta memajukan masyarakat setempat.
Wakil Rasmi Ahli Parlimen Batang Sadong, Bojeng Ali menzahirkan penghargaan terhadap dana yang disalurkan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee bagi menjayakan kursus bertenun dan jahitan yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
"Hasil daripada inisiatif tersebut, kita dapat melihat sendiri produk kraftangan dan pakaian yang dipamerkan hari ini sebagai bukti usaha serta kesungguhan peserta dalam meningkatkan ekonomi keluarga dan memajukan kampung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pengerami Mantar Gawai dan Perasmian Produk Kraftangan Persatuan Pergerakan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Melanjok di kediaman Tuai Rumah (Tr) Anot Diang pada Ahad.
Tambahnya, komitmen peserta yang bersungguh-sungguh menyiapkan hasil kerja mencerminkan kesungguhan masyarakat dalam meningkatkan ekonomi serta memajukan kampung.
Sementara itu, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Rafendy Ariffen berkata semangat ‘Segulai Sejalai’ perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kelestarian budaya serta keharmonian komuniti terus terpelihara.
Menurutnya, sambutan Gawai bukan sekadar perayaan, malah menjadi medium untuk mengukuhkan perpaduan, semangat kejiranan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat. -EDISI UKAS