Tematu EthnoFest 2026 Meriah, Angkat Warisan Budaya Bidayuh
KUCHING: Tematu EthnoFest 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Mei di Dewan Serbaguna Kampung Tematu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, pencinta budaya dan pengunjung dari pelbagai kawasan bagi meraikan keunikan warisan masyarakat Bidayuh.
Festival berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan, komuniti serta pertandingan tradisional yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat perpaduan.
Malam pembukaan festival diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
Antara acara utama yang mendapat perhatian pengunjung ialah pertandingan Bitanding Sindok Dayung Gawea Tematu 2026, Bitanding Onak Dayung Gawea Tematu 2026 serta Bitanding Onak Dari Pogan Gawea Tematu 2026 yang menampilkan bakat, penampilan tradisional dan penghayatan budaya masyarakat tempatan.
Kemuncak program diteruskan pada malam 23 Mei menerusi pertandingan akhir Bitanding Dayung Gawea Tematu 2026 yang mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Cr Tan Kai diiringi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang.
Dalam pertandingan akhir tersebut, Glydis Gladly Francis berjaya dinobatkan sebagai johan selepas mempamerkan keyakinan, keanggunan serta penghayatan budaya yang cemerlang sepanjang pertandingan berlangsung.
Tempat naib johan dimenangi oleh Melcy James manakala tempat ketiga diraih Patricia Paschal Pilin.
Penganjuran Tematu EthnoFest 2026 sekali lagi membuktikan komitmen masyarakat Kampung Tematu dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Bidayuh melalui platform yang bukan sahaja mengangkat seni dan tradisi malah memperkukuh perpaduan komuniti serta berpotensi menjadi tarikan pelancongan budaya di Sarawak. -EDISI UKAS