Program Kampung Siapsiaga APM Perkukuh Peranan Penduduk Hadapi Bencana
ENGKILILI: Program Kampung Siapsiaga 221 diperkenalkan sebagai satu inisiatif baharu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam usaha memperkukuh peranan penduduk dalam pengurusan risiko dan kesiapsiagaan bencana.
Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, PPj (PA) Mohtar Samat berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti latihan semata-mata tetapi merupakan langkah proaktif ke arah membentuk komuniti yang lebih berpengetahuan, bersedia dan berdaya tahan.
"Antara objektif perlaksanaannya adalah untuk membolehkan penduduk memahami tanggungjawab serta fungsi APM dalam pengurusan bencana serta keselamatan awam dan memperkukuh kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi sebarang ancaman kecemasan, bencana serta juga ancaman musuh.
"Selain itu, program ini juga bertujuan memastikan sekurang-kurangnya seorang ahli dalam setiap keluarga mempunyai pengetahuan serta latihan berkaitan bencana dan seterusnya membentuk anggota supaya lebih bertanggungjawab serta mendapat pengalaman mengendalikan situasi bencana," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten (PA) Mohammad Noor Ini pada Majlis Perasmian Program Kampung Siapsiaga APM di Rumah Tutong Danau di Engkilili, pada Ahad.
Mokhtar menambah, konsep 'Komuniti Berdaya Tahan Bencana' diterapkan sebagai satu budaya dalam hidup penduduk dan tidak harus bergantung sepenuhnya kepada pasukanpenyelamat apabila berlaku bencana.
Ujarnya, ilmu, latihan serta pengalaman yang diperoleh penduduk pada program ini penting untuk dikongsikan bersama keluarga, jiran tetangga dan seluruh komuniti mereka dalam penempatan masing-masing.
Terdahulu, seramai 95 peserta yang terdiri daripada anggota APM Lubok Antu, anggota Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman dan orang awam telah mengambil bahagian dalam program terbabit bermula dari 23 hingga 24 Mei lepas.
Peserta melalui program terbabit telah didedahkan dengan pengenalan APM, protokol Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) ilmu menyelamat kecemasan, keselamatan semasa kebakaran, keselamatan semasa berada di Pusat Pemindahan Sementara dan pengurusan bencana.- Edisi UKAS