SCaT Fair 2026, Lebih 1,900 Peluang Kerjaya Ditawarkan Pada 6-7 Jun Ini
KUCHING: Sarawak Career and Training Fair (SCaT Fair) 2026 terus memperkukuh peranannya sebagai platform strategik dalam menghubungkan bakat tempatan dengan peluang pendidikan dan kerjaya selaras aspirasi pembangunan modal insan Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran edisi ke-12 program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan bakat serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja negeri.
Menurut beliau, SCaT Fair 2026 yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Jun depan di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), Kuching dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung secara fizikal serta lebih 100,000 tontonan dalam talian.
“Program ini berfungsi sebagai ‘one-stop centre’ yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan peluang pendidikan, bantuan kewangan, serta laluan kerjaya kepada pelajar, belia dan masyarakat umum.
“Ia juga bertujuan memperkasakan golongan belia agar mampu membuat keputusan yang tepat mengenai masa depan mereka di samping memupuk minat terhadap bidang STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media SCaT Fair 2026 di Auditorium TEGAS Digital Village di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, lebih 50 pempamer terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan, pemain industri, institusi TVET serta penyedia latihan akan mengambil bahagian dalam pameran tersebut.
Tambah beliau, melalui kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), program itu turut menawarkan sesi temu duga terbuka melibatkan pelbagai sektor industri dengan kira-kira 1,982 kekosongan jawatan disediakan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan zon khas minyak dan gas yang diselaraskan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bakal menjadi antara tarikan utama menerusi pameran interaktif serta perkongsian berkaitan peluang kerjaya dan keperluan tenaga kerja masa hadapan dalam sektor berkenaan.
Beliau dalam masa sama menggalakkan rakyat Sarawak memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi SCaT Fair 2026 khususnya dalam mendapatkan maklumat pendidikan dan kerjaya secara terus daripada institusi serta syarikat terlibat.
“SCaT Fair bukan sekadar pameran, tetapi merupakan platform penting dalam menyokong aspirasi Sarawak ke arah menjadi wilayah berpendapatan tinggi yang dipacu oleh modal insan berkemahiran dan berdaya saing,” tegasnya.
Selain itu, pelbagai program sampingan turut diadakan sepanjang dua hari penganjuran termasuk STEM Playground, Sarawak Minecraft Championship, Sarawak Rocketeer Challenges, TVET Master Competition, Career Exploration Programme (CEP), Planetarium Sultan Iskandar (PSI) Dome serta pelbagai aktiviti interaktif lain.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) merangkap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis serta tetamu lain. -EDISI UKAS