Jualan Istimewa Aidiladha Dan Gawai Bantu Ringankan Beban Penduduk Simunjan
SIMUNJAN: Program Jualan Istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai 2026 yang dianjurkan di Ayam Champion Simunjan berjaya membantu meringankan beban kewangan penduduk di kawasan ini dalam membuat persiapan perayaan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan khususnya ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, jualan tersebut memfokuskan kepada barangan keperluan harian dan bahan utama bagi penyediaan juadah perayaan seperti ayam, daging, telur serta pelbagai jenis bawang.
“Kita mengharapkan dengan adanya jualan istimewa ini, sedikit sebanyak kita dapat membantu penduduk meringankan beban mereka di samping mendapatkan barangan keperluan penting tanpa terlalu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Isnin.
Beliau turut memuji kerjasama erat bersama peniaga tempatan, Ayam Champion, yang disifatkan sebagai langkah berkesan dalam menyalurkan manfaat secara langsung kepada penduduk di daerah Simunjan.
Program tersebut menerima sambutan menggalakkan apabila penduduk kampung dilaporkan mula berbaris seawal jam 6.00 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan yang ditawarkan.
Melihat kepada impak positif dan sambutan yang diterima, Rodiyah memberitahu, beliau bercadang menjadikan program jualan istimewa itu sebagai acara tahunan menjelang musim perayaan utama di kawasan tersebut.
Dalam program sama, Rodiyah turut mengadakan sesi walkabout di Pasar Tamu Simunjan dan Market Lama Simunjan bagi meninjau keadaan semasa serta berinteraksi secara langsung dengan para peniaga dan penduduk setempat.
Sesi tersebut turut memberi ruang kepada beliau untuk mendengar pandangan, cadangan serta isu yang dihadapi masyarakat setempat. -EDISI UKAS