Siniawan Gawai Bazaar 2026 Jadi Inisiatif Baharu Semarak Sambutan Gawai Di Serembu
BAU: Siniawan Gawai Bazaar 2026 yang berlangsung bermula 22 hingga 30 Mei ini dilihat sebagai satu inisiatif baharu dalam menyemarakkan sambutan Hari Gawai di konstituensi Serembu sekali gus menghidupkan suasana Pekan Siniawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, walaupun bazar tersebut diadakan dalam tempoh persiapan yang singkat dan hanya melibatkan 20 gerai sewaan namun ia tetap berjaya menjadi platform untuk memeriahkan sambutan perayaan masyarakat Dayak di kawasan berkenaan.
"Program tersebut berpotensi untuk dijadikan sebagai acara tahunan pada masa akan datang dengan perancangan yang lebih awal serta pengisian aktiviti yang lebih meriah," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian bazaar tersebut pada Ahad.
Dato Miro menambah, beberapa lagi acara besar akan diadakan di kawasan Serembu pada tahun ini termasuk Sambutan Rumah Terbuka Gawai Peringkat DUN Serembu yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 14 Jun depan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat setempat.
Selain itu, pihaknya juga sedang merancang pelaksanaan Siniawan Country Music Festival yang dijangka berlangsung pada September nanti sebagai salah satu acara ikonik baharu di kawasan tersebut.
Ujarnya, usaha penganjuran pelbagai program itu bukan sahaja bertujuan menghidupkan suasana di kawasan Siniawan dan Serembu, malah turut menjadi tarikan pelancongan serta membuka peluang peningkatan ekonomi kepada penduduk tempatan. -EDISI UKAS