SIMANGGANG: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 pada 31 Oktober lalu disambut baik Ketua Masyarakat pelbagai kaum di Bahagian Sri Aman yang menyifatkannya mampu merancakkan pembangunan ekonomi, sosial serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Ketua Masyarakat komuniti Iban Bahagian Sri Aman, Temenggong Leonard Libau Anol berkata, pembukaan jambatan sepanjang 870 meter itu berjaya memendekkan tempoh perjalanan antara Sri Aman dan Betong daripada satu jam kepada hanya 25 minit.
Menurut beliau, kemudahan perhubungan yang lebih cepat dan selesa itu bukan sahaja merancakkan ekonomi serta perniagaan tempatan, malah membuka peluang pasaran lebih luas kepada pengusaha makanan, kraftangan dan produk tempatan termasuk sektor pengangkutan, penginapan serta perkhidmatan.
Beliau turut menyifatkan jambatan berkenaan berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu Sarawak menerusi reka bentuk ikonik serta menara kabel setinggi 145.5 meter, selain memudahkan dan mempercepat penghantaran hasil pertanian penduduk.
Sementara itu, Ketua Masyarakat komuniti Cina Bahagian Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng berkata, pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja mempercepat pembangunan malah mengukuhkan hubungan masyarakat antara Sri Aman dan Betong.
Beliau berkata, Ketua Masyarakat pelbagai kaum di Bahagian Sri Aman pernah mengemukakan memorandum kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 2019 bagi memohon supaya pelaksanaan projek jambatan itu disegerakan demi kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas komitmen merealisasikan projek berkenaan yang mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rakyat dan penyediaan kemudahan infrastruktur yang memberi manfaat kepada masyarakat.-Edisi UKAS