Dato Sri Saferi Dahului Senarai Penerima Anugerah Pegawai Contoh HPA 2026
KUCHING: Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali mendahului senarai penerima Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Sarawak Tahun 2025.
Beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut bagi kategori Kumpulan Pengurusan Tertinggi Negeri.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Turut menerima penghargaan dalam kategori Kumpulan Pengurusan Tertinggi Persekutuan ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dato' Dr. Veronica Lugah.
Bagi kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional Negeri, anugerah berkenaan disandang oleh Pegawai Daerah dari Pejabat Daerah Belaga, Kapit, Bidah Lujah.
Manakala, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Siti Zulaiha Ibrahim pula diumumkan sebagai penerima anugerah bagi kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional Persekutuan.
Anugerah Pegawai Contoh turut mengiktiraf sumbangan warga kerja Kumpulan Pelaksana, dengan Penolong Juruukur (JA5) dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Ho Mei Mei diumumkan sebagai penerima bagi Kumpulan Pelaksana Negeri.
Sementara itu, Pegawai Forensik Bahagian Bintulu (KB7) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Tawang Lingem dinobatkan sebagai penerima bagi Kumpulan Pelaksana Persekutuan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pengurusan Aset Cemerlang Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 yang berprestij, di mana Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pejabat Residen Bahagian Betong diumumkan sebagai penerima anugerah bagi kategori tersebut.
Dalam pada itu, satu lagi kejayaan membanggakan dicatatkan apabila Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Sarawak diiktiraf antara lima negeri terbaik di Malaysia dengan meraih tujuh penarafan Pengurusan Aduan Awam bagi tahun 2025.
Susulan pencapaian itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah berkesempatan menyampaikan sijil kecemerlangan tersebut kepada Premier Sarawak sebagai simbolik penghargaan atas sokongan padu kepimpinan negeri. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus & Asyrafiee Madzihi