Sarawak Perkenal Garis Panduan Outcome Program, Nilai Keberkesanan Projek Kerajaan
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan Garis Panduan Outcome Program sebagai instrumen kawalan dan penanda aras bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program serta projek yang dibiayai kerajaan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah itu bertujuan memastikan setiap program dan projek yang dirancang serta dilaksanakan benar-benar membawa perubahan positif dan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Kita tidak boleh lagi hanya mengukur kejayaan berdasarkan output atau jumlah perbelanjaan.
"Sebaliknya, kita perlu memastikan program dan projek yang dirancang serta dilaksanakan benar-benar membawa perubahan positif dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Tambahnya, dengan garis panduan ini, pendekatan Perkhidmatan Awam Sarawak akan beralih sepenuhnya kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan rakyat.
Ujarnya, setiap program dan projek yang dilaksanakan mestilah memberikan impak nyata serta hasil yang dapat dirasai secara langsung oleh setiap lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menyeru setiap Ketua Jabatan agar memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan semua program dan projek dinilai secara kritikal dan telus.
"Hal ini bertujuan menjamin setiap sen pelaburan kerajaan diterjemahkan kepada impak yang bermakna kepada rakyat Sarawak," tegas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi