Kumpulan ALL STARS JKR Sarawak Raih Anugerah Inovasi Premier Sarawak 2026
KUCHING: Kumpulan ALL STARS dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Premier Sarawak 2026 sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Anugerah SCSICA 2026 di sini, Rabu.
Pengiktirafan tertinggi kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dalam Perkhidmatan Awam Sarawak itu dianugerahkan atas usaha, komitmen dan pencapaian kumpulan berkenaan dalam menghasilkan idea serta penyelesaian inovatif yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan penyampaian hadiah yang menyaksikan kumpulan tersebut membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM15,000.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Inovasi SCSICA 2026 bagi empat kategori utama, iaitu Agensi Utama SCS, Pejabat Residen dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan serta Persekutuan.
Bagi Kategori Agensi Utama SCS, Kumpulan ALL STARS dari JKR Sarawak turut muncul sebagai pemenang, manakala Kumpulan TAPOW dari Pejabat Residen Bahagian Mukah memenangi Kategori Pejabat Residen dan Daerah.
Kategori Pihak Berkuasa Tempatan dimenangi Kumpulan EAGLE dari Majlis Perbandaran Sibu, sementara Kumpulan OK (Orang Kastam) dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia memenangi Kategori Persekutuan.
Setiap kumpulan pemenang bagi empat kategori tersebut menerima sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM5,000.
SCSICA 2026 yang dianjurkan Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober lalu di Kuching dengan penyertaan sebanyak 51 kumpulan KIK yang mempamerkan pelbagai idea dan projek inovasi.
Penganjuran konvensyen itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memupuk budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus & Asyrafiee Madzihi