Premier Sarawak Terima Kunjungan Penerima Hadiah Nobel Fizik 2023
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini, di di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Kunjungan hormat itu membuka ruang pertukaran pandangan mengenai kemajuan sains dan teknologi, kepentingan penyelidikan berimpak tinggi serta usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kehadiran tokoh fizik antarabangsa berkenaan turut memberi dimensi akademik dan saintifik kepada pertemuan itu, khususnya dalam mengetengahkan kepentingan penyelidikan asas sebagai pemacu kepada penerokaan ilmu, inovasi dan kemajuan teknologi masa hadapan.
Profesor Pierre merupakan antara tiga saintis yang dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik 2023 atas sumbangan perintis mereka dalam kaedah eksperimen yang menghasilkan denyutan cahaya attosaat bagi mengkaji dinamik elektron dalam jirim.
Penyelidikan dalam bidang fizik attosaat membolehkan saintis memerhati dan mengukur proses pergerakan elektron yang berlaku dalam tempoh masa amat singkat, sekali gus membuka peluang baharu dalam memahami fenomena asas pada peringkat atom dan molekul.
Perkembangan penyelidikan seumpama itu memperlihatkan betapa pentingnya penguasaan ilmu sains asas, kepakaran khusus dan keupayaan penyelidikan dalam memperluas sempadan pengetahuan serta menyokong pembangunan teknologi generasi baharu.
Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar. -EDISI UKAS