Kampung Peramas Perlukan Perancangan Pembangunan Tersusun
SIBURAN: Kampung Peramas sebagai sebuah perkampungan baharu memerlukan perancangan pembangunan yang tersusun.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, lima projek infrastruktur telah berjaya disiapkan di kampung tersebut.
"Lima projek pembangunan infrastruktur telah berjaya dilaksanakan di Kampung Peramas dengan kos keseluruhan berjumlah RM600,000, sekali gus meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan penduduk kampung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Pra Gawai 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Peramas pada Ahad.
Menurut Datuk Dr Jerip Susil, pembinaan seterusnya adalah dewan serbaguna yang akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk kampung untuk berinteraksi dan mengadakan program kemasyarakatan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemberian hak milik tanah kepada penduduk Kampung Seratau dan kawasan sekitarnya dijadualkan pada 5 Ogos depan.
Ujarnya, inisiatif tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan generasi akan datang. -EDISI UKAS