Penyampaian Maklumat Tepat Pastikan Rakyat Tidak Tercicir Manfaat Inisiatif Kerajaan
KUCHING: Penyebaran maklumat yang tepat dan mudah difahami amat penting bagi memastikan rakyat tidak tercicir daripada menerima manfaat pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, masih terdapat segelintir masyarakat khususnya di kawasan kampung yang belum memperoleh maklumat lengkap berkaitan bantuan kerajaan seperti Skim Kenyalang, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan warga emas dan bantuan kebajikan lain.
“Walaupun promosi telah banyak dilakukan, masih ada masyarakat yang belum tahu tentang bantuan dan inisiatif kerajaan. Sebab itu program penerangan seperti ini perlu diteruskan supaya maklumat sampai terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Demi Rakyat Bersama Pusat Khidmat Zon Selatan di sini pada Isnin.
Program tersebut disempurnakan oleh
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penggunaan media sosial sebagai medium utama penyebaran maklumat masa kini selaras dengan perubahan corak masyarakat yang kini lebih bergantung kepada platform digital berbanding media tradisional.
Katanya, penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat turut menjadi cabaran semasa yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi menjelaskan fakta sebenar kepada masyarakat.
“UKAS tidak mampu bergerak bersendirian. Sebab itu kita perlukan kerjasama semua pihak termasuk pusat khidmat masyarakat menjadi rakan strategik untuk membantu menyebarkan maklumat yang betul,” ujarnya.
Selain itu katanya, UKAS turut menyediakan pelbagai platform dan produk komunikasi termasuk portal arkib digital yang menyimpan ucapan, gambar, video serta dokumentasi rasmi kerajaan sebagai rujukan masa hadapan.
Terdahulu diadakan sesi perkongsian daripada daripada pegawai Kementerian Pendidikan, lnovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Yayasan Sarawak dan Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.-EDISI UKAS