Pusat Khidmat Wakil Rakyat & UKAS Komited Salurkan Maklumat Ke Peringkat Akar Umbi
KUCHING: Peranan pusat khidmat wakil rakyat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus diperkasa dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat disalurkan secara berkesan kepada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak dalam memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati seluruh rakyat secara inklusif dan menyeluruh.
Menurut beliau, penyampaian maklumat berkaitan bantuan kerajaan perlu diperluaskan agar masyarakat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada menikmati manfaat yang disediakan.
“Pusat khidmat perlu sentiasa proaktif, mesra rakyat dan menguasai maklumat semasa supaya dapat membantu wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Demi Rakyat Bersama Pusat Khidmat Zon Selatan di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Beliau yang juga ADUN Pantai Damai menambah, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan meliputi rawatan kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan serta bantuan kebajikan kepada rakyat dari peringkat lahir sehingga akhir hayat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) kini menawarkan lebih 21,000 peluang pekerjaan menerusi pelbagai sektor awam dan swasta bagi membuka ruang kepada anak Sarawak yang bekerja di luar negeri untuk kembali berkhidmat di tanah air sendiri.
Beliau menjelaskan, pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, jalan pesisir, jambatan dan jaringan jalan raya juga terus diperkasakan bagi meningkatkan tahap hubungan serta aksesibiliti di seluruh negeri.
"Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 yang merupakan jambatan merentanginsungai terpanjang di Malaysia menjadi simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan perhubungan Sarawak," jelasnya lagi.-EDISI UKAS