Pakej ‘Seteguh KASIH Ibu’ Sokong Kesejahteraan Wanita, Keluarga
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus komited menyediakan pelbagai inisiatif bagi menyokong kesejahteraan wanita dan institusi kekeluargaan di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, antara inisiatif terbaharu yang diperkenalkan ialah Pakej ‘Seteguh KASIH Ibu’ yang memberi fokus kepada keperluan ibu secara menyeluruh.
“Saya amat gembira kerana sambutan hari ini turut memperkenalkan Pakej "Seteguh KASIH Ibu" yang menyantuni keperluan ibu secara menyeluruh yang merangkumi Pakej Sayang Ibu, melalui perkhidmatan WCaRe dengan subsidi ujian mamogram dan HPV DNA; Pakej Jalinan KASIH Ibu yang mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui terapi seni dan Bahasa Cinta; serta Pakej Minda Tenang melalui urutan kesejahteraan MamaCare,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Sarawak 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini pada Isnin.
Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, pakej yang bersifat menyeluruh itu memberi ruang kepada golongan ibu untuk kembali memberi perhatian terhadap kesejahteraan diri mereka sendiri di samping terus memainkan peranan penting dalam keluarga dan masyarakat.
Turut hadir ialah Pengerusi LPPKN Dato Sri Rohani Abdul Karim.-EDISI UKAS