KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas kini dalam fasa penambahbaikan menerusi sesi libat urus berterusan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk persatuan yang mewakili golongan warga emas di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kementeriannya masih menerima pelbagai input dan cadangan yang perlu diperhalusi sebelum RUU tersebut dibentangkan ke Kabinet dan seterusnya ke Parlimen.
“Walaupun RUU ini hampir siap, masih banyak input diterima daripada pihak berkepentingan terutama persatuan yang mewakili warga emas yang mahu beberapa perkara dimasukkan dalam RUU tersebut.
“Ada juga pandangan supaya tindakan dikenakan terhadap anak yang tidak menjaga ibu bapa, namun pada masa sama terdapat suara lain yang meminta kita melihat pengalaman negara lain sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Ibu Peringkat Sarawak 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini pada Isnin.
Dato Sri Nancy menambah, kementeriannya telah diberikan tempoh enam bulan untuk membentangkan RUU tersebut ke Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.
Katanya, walaupun sesi advokasi dan penglibatan bersama pihak berkepentingan akan diteruskan, kementerian juga perlu menetapkan tempoh tertentu agar proses pembentangan tidak terus tertangguh.
“Kita akan terus mengadakan libat urus dan pada masa sama menghantar semula input yang diterima kepada agensi berkaitan untuk dikaji dan diperhalusi,” ujarnya.-EDISI UKAS