Kenduri Rakyat MADANI Pra-Gawai Satukan Masyarakat Pelbagai Kaum di Kanowit
KANOWIT: Program Kenduri Rakyat MADANI Pra-Gawai di Kanowit menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum menerusi sambutan perayaan dalam suasana harmoni dan penuh muhibah.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, penganjuran program tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat melalui sambutan perayaan utama masyarakat di negara ini.
“Hari ini kita berada di Pejabat Daerah Kanowit untuk bersama rakyat yang meraikan Hari Gawai.
“Di kementerian, kita telah ditugaskan untuk mengadakan Pra-Gawai Kenduri Rakyat MADANI dan ini adalah usaha kerajaan untuk mendekati pemimpin bersama rakyat di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, pada Ahad.
Menurut beliau, kementeriannya dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan tiga siri Kenduri Rakyat MADANI tahun ini dengan Kanowit menjadi lokasi pertama penganjuran sempena sambutan Hari Gawai di kawasan Parlimen Kanowit.
Dato Sri Aaron memberitahu, program seterusnya akan diadakan di Serian sempena sambutan Hari Malaysia dan di Sungai Buloh, Selangor bersempena sambutan Deepavali.
Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang program tersebut termasuk Townhall Keselamatan Komuniti bersama PEMADAM, reruai pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), slot interaktif kenegaraan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta pendedahan mengenai fungsi dan kemudahan Pusat NADI.
Program itu turut menyaksikan penyerahan Bakul Rahmah MADANI kepada penerima daripada golongan kurang berkemampuan di sekitar Kanowit bagi membantu persediaan menyambut Hari Gawai.-EDISI UKAS