1,300 Kelalang Termos Diagih sempena Hari Ibu di Pelawan
SIBU: Sambutan Hari Ibu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan berlangsung meriah apabila sebanyak 1,300 kelalang termos eksklusif diagihkan kepada golongan ibu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan mencerminkan penghargaan tinggi masyarakat terhadap peranan golongan ibu.
“Ini merupakan petanda yang sangat baik yang menunjukkan betapa istimewanya sambutan Hari Ibu dalam kalangan masyarakat kita.
“Kita meraikan hari ini bukan sekadar untuk menghargai wanita, tetapi khususnya untuk mengiktiraf sumbangan besar mereka kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pengagihan kelalang termos eksklusif berkenaan di Taman Peringatan Hin Hua, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Michael menegaskan pembinaan komuniti yang kukuh dan bandar yang selesa didiami bermula daripada institusi keluarga yang stabil dan harmoni.
Katanya, wanita, isteri dan ibu memainkan peranan penting dalam membesarkan anak-anak selain memastikan generasi muda menerima pendidikan dan didikan yang baik.
“Hadiah kecil ini adalah tanda penghargaan ikhlas kami kepada setiap wanita yang memikul tanggungjawab penting tersebut,” ujarnya.-EDISI UKAS