SUPP Terus Komited Berkhidmat Tanpa Mengira Kawasan Politik
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira sama ada sesuatu kawasan diwakili parti tersebut atau sebaliknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Naib Presiden SUPP, Datuk Ding Kuong Hing berkata, semangat perjuangan parti untuk berkhidmat kepada rakyat tidak seharusnya luntur atau terhad oleh sebarang sempadan politik.
"Walaupun kawasan ini bukan kawasan DUN yang diwakili oleh SUPP, namun semangat perjuangan parti untuk berkhidmat kepada rakyat tidak seharusnya luntur atau terhad oleh sempadan politik.
"Sebaliknya, inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa perjuangan SUPP adalah perjuangan yang ikhlas, berteraskan kebajikan rakyat dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Pra Gawai Dayak 2026 anjuran SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya di Dewan Komuniti Sibu Jaya, pada Ahad.
Datuk Ding turut menyeru ahli SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya agar terus memperkukuhkan perpaduan, semangat kerjasama, serta iltizam perjuangan dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik.
Menurutnya, ahli parti perlu terus mendekati rakyat untuk mendengar permasalahan mereka selain menjadi jambatan yang menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan.
Hadir sama ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kua Jack Seng dan William Anut, Temenggong Stanley Gramong, Pemanca Paing Tawi serta Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai.-EDISI UKAS