Mantar Gawai Perkukuh Perpaduan Masyarakat Pelbagai Kaum
PUSA: Sambutan Mantar Gawai 2026 di Rumah Panjang Batu 8 Undai menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum selain menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang sambutan Hari Gawai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor semasa berucap dalam majlis tersebut pada Ahad berkata, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform memperkukuh keharmonian masyarakat di kawasan Beting Maro.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Iban di Beting Maro kerana terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta wakil rakyat dalam usaha membangunkan negeri.
Katanya, kepimpinan Sarawak pada hari ini telah membawa pelbagai perubahan besar khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar serta penerokaan sumber ekonomi baharu.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memainkan peranan penting dalam membawa pembangunan ke kawasan luar bandar termasuk Beting Maro.
Tambah beliau, kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Katanya lagi, pembangunan yang sedang dilaksanakan hari ini akan terus memacu Sarawak ke arah masa depan yang lebih maju dan progresif.-EDISI UKAS