Bazar Gawai Miri Catat Jualan RM2.2 Juta, Tarik Lebih 82,000 Pengunjung
MIRI: Gawai Dayak Bazar dan Festival Ethnocultural 2026 di Miri mencatat kejayaan memberangsangkan apabila merekodkan lebih 82,300 pengunjung serta jualan mencecah RM2.2 juta setakat 22 Mei lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, pencapaian itu melepasi sasaran awal RM1.8 juta sekali gus membuktikan sambutan luar biasa masyarakat terhadap penganjuran festival berkenaan.
Menurut beliau, walaupun bazar kali ini hanya melibatkan 79 gerai, sambutan pengunjung tetap meriah dengan kehadiran ribuan orang setiap malam.
“Secara purata, kira-kira 3,000 pengunjung datang setiap malam untuk membeli makanan serta menyaksikan persembahan yang dianjurkan.
“Jualan juga melebihi sasaran awal RM1.8 juta apabila berjaya mencapai RM2.2 juta setakat 22 Mei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Gawai Dayak Bazaar dan Festival Ethnocultural 2026 sempena Gawai Dayak Peringkat Negeri 2026 di Bandar Baru Permyjaya, di sini pada Sabtu.
Datuk Dr Penguang menambah, penganjuran bazar tersebut bukan sahaja membantu menjana pendapatan peniaga kecil dan usahawan tempatan, malah turut menjadi platform penting dalam memelihara budaya pelbagai kaum Dayak menerusi pelbagai persembahan dan pertandingan tradisional.
“Ini salah satu cara untuk memastikan budaya kita tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga telah berbincang dengan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang bagi memasukkan Bazaar Gawai dalam kalendar rasmi Festival Mayfest pada masa hadapan supaya acara tersebut dapat diteruskan setiap tahun.
Festival yang berlangsung sejak 4 Mei lalu itu menampilkan kira-kira 12 acara kebudayaan mewakili pelbagai suku kaum Dayak di Miri termasuk pertandingan Kumang Gawai Dayak, bertabuh, Dayang Sangon dan kuntau.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang. -EDISI UKAS