Rurum Kelabit Terus Cemerlang Pelihara Warisan Budaya
MIRI: Rurum Kelabit Sarawak Cultural & Line Dance Group terus mengukir kejayaan membanggakan sepanjang sembilan tahun penubuhannya dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Kelabit.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 8 Mei 2017 dengan hanya tujuh ahli itu kini berkembang kepada 23 ahli aktif hasil komitmen serta semangat tinggi dalam memperjuangkan seni dan budaya tradisional.
Antara pencapaian membanggakan kumpulan tersebut termasuk menjuarai Perarakan Niti Daun Bahagian Miri 2025 dan Pertandingan Tarian Tradisional Ngajat Peringkat Negeri 2023 selain meraih tempat keempat dalam pertandingan Long Dance sempena Gawai Bazaar & Ethnocultural Festival Sarawak 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, kejayaan tersebut membuktikan usaha memelihara budaya mampu memberi impak besar kepada masyarakat.
“Saya amat berbangga melihat bagaimana kumpulan ini berjaya mengangkat martabat seni dan identiti masyarakat Kelabit melalui pelbagai pencapaian membanggakan.
“Selain aktif dalam persembahan budaya, kumpulan ini juga banyak terlibat dalam program kebajikan dan tarian amal di pelbagai tempat termasuk Miri, Sibu, Kapit, Bintulu, Brunei, Sabah dan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Rurum Kelabit Sarawak Cultural & Line Dance Group kali ke-9 di sini pada Sabtu.
Datuk Gerawat turut menghargai komitmen kumpulan tersebut dalam menyokong Pesta Nukenan Bario serta usaha mengadakan latihan tarian secara konsisten dua kali seminggu bagi memastikan warisan budaya terus diwarisi generasi muda.
“Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong usaha memelihara budaya dan pembangunan seni warisan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Saya percaya kumpulan seperti ini memainkan peranan besar dalam memastikan budaya terus hidup dan relevan sepanjang zaman,” katanya. - EDISI UKAS