Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Terus Jadi Fokus Kerajaan Sarawak
LAWAS: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar melibatkan pembinaan jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi bagi meningkatkan kesejahteraan serta taraf hidup masyarakat di kawasan pedalaman termasuk kampung dan rumah panjang.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beberapa projek penting di kawasan Merapok dan sekitarnya telah diluluskan dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut beliau, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan jalan menuju ke Rumah Ajan yang telah diluluskan dengan peruntukan kira-kira RM50 juta dan dijangka dimulakan sebelum penghujung tahun ini.
“Kerajaan juga akan melaksanakan jalan menuju ke Meragang Station bagi menyokong pembangunan ekonomi kawasan termasuk projek penternakan kerbau dan penghasilan keju yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pra Gawai di Rumah Ajan, Merapok di sini pada malam Ahad.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap ADUN Bukit Sari itu menambah, kerajaan turut memberi perhatian terhadap keperluan asas penduduk luar bandar termasuk usaha memperluaskan bekalan air bersih ke kampung-kampung di sepanjang kawasan Merapok hingga ke Long Sukang dan Long Tuyu.
Selain itu, katanya, projek loji rawatan air baharu berhampiran Kampung Pengalih akan meningkatkan kapasiti bekalan air sekali gus menampung keperluan penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa penambahbaikan kemudahan elektrik dan telekomunikasi akan terus diperluaskan ke kawasan pedalaman bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi kepada masyarakat luar bandar.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Datuk Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Penghulu Ajan Renang serta Temenggong. -EDISI UKAS