Program Sejambak Kasih Gawai Santuni Penerima Bantuan di Kapit
KAPIT: Program Sejambak Kasih Gawai anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Kapit menjadi platform menyantuni penerima bantuan sempena sambutan Hari Gawai.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, program tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Program ini adalah simbol kasih sayang dan perpaduan masyarakat,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di Hotel Meligai Kapit, pada Isnin.
Jelasnya, Hari Gawai bukan sekadar perayaan tetapi lambang kesyukuran dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Kapit.
Menurut beliau, seramai 2,775 penerima menerima bantuan wang tunai RM100 dan hamper RM80 dengan jumlah peruntukan RM277,500, manakala RM6,872,500 telah disalurkan kepada 2,930 penerima bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Kapit Evelyn Buda, wakil Residen Bahagian Kapit Daniel Batin, wakil Pegawai Daerah Kapit Khairulnizam Jamain, Temenggong Jamit Untam serta ketua-ketua masyarakat. - EDISI UKAS