Karnival Sukan PKS Belaga Perkukuh Perpaduan Komuniti
BELAGA: Penganjuran Karnival Sukan Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Belaga berjaya menjadi platform memperkukuh perpaduan komuniti selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Negara Senator Michael Mujah Ilhan berkata program berbentuk kesukanan bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerjasama dalam komuniti.
“Penganjuran program seperti ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan, mengeratkan silaturahim serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Sukan PKS Cawangan Belaga di Ruai Maren Uma, Uma Kahei, Long Mekero, pada Ahad.
Karnival yang julung kali dianjurkan itu berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei dengan mempertandingkan acara bola sepak sembilan sebelah lelaki dan bola tampar wanita.
Sebanyak 14 pasukan menyertai pertandingan bola sepak sembilan sebelah manakala lapan pasukan mengambil bahagian dalam acara bola tampar wanita.
Bagi acara bola sepak, Pasukan Menapa Sukat FC muncul juara diikuti KRT Pekan Belaga selaku naib juara dan Belagan United di tempat ketiga.
Sementara itu, Pasukan Amo Manis muncul juara bola tampar wanita, diikuti UALD selaku naib juara dan Happy-Happy VT di tempat ketiga.-EDISI UKAS