KCF 2026 Semarak Warisan Budaya, Perkukuh Identiti Masyarakat Kapit
KAPIT: Kapit Cultural Festival (KCF) 2026 Edisi 4.0 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah di Kapit Town Square pada Ahad, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan masyarakat dan kepimpinan tempatan dalam memelihara warisan budaya serta memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di Bahagian Kapit.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, KCF merupakan platform penting dalam memastikan adat dan budaya masyarakat Iban terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda.
“Festival ini bukan sahaja menjadi medium mempamerkan adat tradisi seperti ngajat, kraftangan dan bebiau, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti rumah panjang serta membantu menjana ekonomi tempatan melalui jualan hasil tangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan itu.
Jelasnya lagi, festival tersebut juga berperanan sebagai “dokumentasi hidup” dalam memastikan identiti kaum Iban tidak lenyap walaupun berdepan arus pemodenan.
Beliau turut berharap agar KCF dapat diteruskan sebagai acara tahunan rasmi di Kapit pada masa hadapan berikutan sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai generasi.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kapit merangkap Pengelola KCF 2026 Thomas Geoffrey Kandawang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan festival berkenaan.
Menurut beliau, dua acara tonggak utama KCF 2026 iaitu Perarakan Niti Daun dan pertandingan Pekit Kumang Dayak (Iban) berjaya menarik penyertaan serta sambutan daripada masyarakat setempat dan pengunjung luar.
Beliau turut menekankan bahawa penjenamaan semula KCF melalui slogan “Segulai Sejalai” mencerminkan semangat kerjasama erat antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta komuniti tempatan dalam menjayakan festival tersebut.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada tiga mantan penghulu bersama pemberian gong teringa, penghargaan kepada barisan Lemambang dan Tukang Biau Daerah Kapit, serta pelajar praktikal Pejabat Daerah Kapit atas sumbangan dalam memartabatkan adat dan warisan budaya.
Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan pertandingan akhir Pekit Kumang Dayak (Iban) KCF 2026, persembahan artis jemputan serta sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Hadir sama, Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, serta ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai.- EDISI UKAS