Kluster Peralihan Industri Sarawak Dilancarkan Pada 11 Jun Ini
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak bersama Kementerian Digital sedang giat memperkemas persiapan menjelang pelancaran rasmi Kluster Peralihan Industri Sarawak (TIC), inisiatif peralihan industri pertama di Malaysia di bawah kerangka Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Perkara itu dimuktamadkan menerusi satu pertemuan strategik hari ini yang melibatkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi menyelaras program dan objektif utama acara bersejarah tersebut.
Majlis pelancaran TIC Sarawak dijadual berlangsung pada 11 Jun 2026 di Borneo Convention Centre Kuching dan dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri serta World Economic Forum yang akan diwakili Pengarah Urusannya, Neo Gim Huay.
Menurut Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, majlis pelancaran tersebut dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama Gobind Singh Deo serta akan menampilkan sesi perbincangan panel berprofil tinggi melibatkan pemimpin kerajaan, pemain industri, pelabur dan rakan strategik ekosistem dari seluruh rantau ini.
Turut hadir dalam mesyuarat persediaan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar serta Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Adrian Marcellus.
TIC Sarawak disifatkan sebagai satu pencapaian penting buat negeri dan negara kerana menjadi kluster pertama di Malaysia yang menyertai inisiatif global Transitioning Industrial Clusters kendalian World Economic Forum.
Inisiatif tersebut dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab transformasi industri serantau, khususnya dalam aspek penyahkarbonan, penggunaan tenaga bersih serta pembangunan ekonomi mampan yang selari dengan agenda pembangunan negeri dan nasional.-EDISI UKAS