Pengguna Jalan Raya Diingat Utamakan Keselamatan Sempena Gawai
SERIAN: Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memandu secara berhemah sepanjang sambutan Hari Gawai bagi mengelakkan kemalangan serta memastikan semua dapat pulang ke destinasi dengan selamat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.22 Kedup, Datuk Martin Ben berkata, kesedaran mengenai keselamatan jalan raya perlu terus diperkukuh khususnya ketika musim perayaan apabila jumlah kenderaan di jalan raya meningkat.
Menurut beliau, walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan setiap tahun, kemalangan jalan raya masih berlaku dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
“Keselamatan jalan raya amat penting terutama ketika musim perayaan apabila ramai yang pulang ke kampung untuk bertemu keluarga dan sanak saudara. Kita mahu semua sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Bisere Gawai di Petronas Gedong Junction pada Isnin.
Tambah beliau, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak memandu dalam keadaan letih atau mengantuk serta mengambil masa berehat secukupnya sebelum meneruskan perjalanan.
“Biar lambat asal selamat. Kalau penat, singgah rehat dan minum kopi. Jangan terburu-buru di jalan raya,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat yang meraikan Gawai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan tarian tradisional, pengagihan kopi percuma kepada pengguna jalan raya serta simbolik menuang ayam pansuh sempena sambutan Hari Gawai.
Dalam program sama, Datuk Martin turut menyampaikan 50 topi keledar kepada orang awam sebagai usaha meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal.
Program berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Serian dengan kerjasama Petronas Gedong Junction serta mendapat sokongan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Hadir sama Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Nor Azam Abg Zawawie, Ketua Polis Daerah Serian Supt Freddy Bian Stanislaus Bian, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian Ir. Ts Chiresly Francis Kureng, Ketua Bahagian Kanan Pengurusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Cristopher Alex serta wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOT) Mohamad Lotfi Tuah.-EDISI UKAS