Town Hall Bersama Premier Sempena Hari Sarawak Sasar Penglibatan Ramai Belia
SIBU: Sekurang-kurangnya 70 peratus belia disasarkan menyertai sesi Town Hall bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena sambutan Hari Sarawak yang dijadual berlangsung pada 22 Julai depan, di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, program dialog tersebut bakal menjadi platform terbaik untuk warga belia berinteraksi secara langsung bersama Premier Sarawak.
"Saya berharap warga belia di Sibu nanti ambil kesempatan ini untuk hadir dalam Town Hall ini untuk bertanya sendiri kepada YAB Premier tentang harapan, masa depan dan inspirasi mereka.
"Saya yakin dan percaya bahawa YAB Premier ada jawapan untuk itu semua," katanya semasa mengadakan sesi lawatan tapak bagi persiapan program berkenaan di UTS, pada Isnin.
Sibu menjadi pusat sambutan Hari Sarawak 2026 dari 20 hingga 22 Julai ini dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Antaranya termasuklah Karnival Jualan, acara Zumba, serta Majlis Kesyukuran yang diadakan di beberapa lokasi tumpuan sekitar bandar Sibu.
Kemuncak sambutan pada 22 Julai bakal dimeriahkan dengan acara Unity Walk, disusuli program Townhall bersama YAB Premier Sarawak di UTS pada sebelah petang.
Sambutan tiga hari ini diakhiri dengan Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat.
Datuk Abdullah menambah, selaku moderator bagi sesi itu nanti, beliau juga sedia untuk mengutarakan beberapa perkara penting yang menjadi kepentingan utama buat golongan belia terbabit.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Datuk Abdullah menjelaskan bahawa UTS dipilih kerana ia membawa maksud yang sangat signifikan kepada visi pentadbiran Kerajaan Sarawak hari ini.
"Dewan yang besar ini di Universiti Teknologi Sarawak menjadi satu simbolik universiti milik Sarawak, yang juga sebahagian daripada impian kerajaan dalam berusaha memberi pendidikan percuma, termasuklah universiti-universiti yang lain," jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu turut menyifatkan sambutan Hari Sarawak kali ini sangat bermakna kerana ia menandakan tahun kesembilan Datuk Patinggi Abang Zohari menerajui kepimpinan negeri sebagai Premier Sarawak.
Beliau percaya, penganjuran acara besar ini di Sibu merupakan satu penghormatan memandangkan Zon Tengah kini menjadi saksi kepada kemuncak pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan fizikal.
"Saya yakin kemuncak banyak perkara terutamanya di zon tengah ini, pembangunan infrastruktur seperti jalan dan jambatan, banyak berlaku di kawasan zon tengah ini.
"Ambillah peluang ini untuk masyarakat di zon tengah melihat apakah lagi yang akan berlaku dalam aktiviti masa depan Sarawak secara keseluruhan," katanya lagi.
Tambah beliau, penganjuran di Sibu juga disifatkan menarik kerana kedudukan geografi Zon Tengah ini berada berdekatan dengan daerah-daerah yang menjadi sebahagian daripada tempat lahirnya pejuang-pejuang terdahulu yang menuntut penubuhan serta hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Turut hadir Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Dato Roseley, Pendaftar UTS Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Henry Jalin Watt dan yang lain. - EDISI UKAS