RM466,000 Geran Peruntukan Parlimen Hulu Rajang Disalur, Perkukuh Pembangunan Komuniti Setempat
KAPIT: Sebanyak RM466,000 geran Peruntukan Parlimen Hulu Rajang disalurkan kepada penerima dari kawasan Baleh, Sekeroh Oyan dan Gaat bagi memperkukuh pembangunan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong menyerahkan cek geran tersebut dalam majlis diadakan di Rumah Kuling Anak Luat, Sepata, Baleh pada Isnin.
Datuk Wilson berkata, peruntukan yang disalurkan ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan pembangunan akar umbi khususnya melalui sokongan kepada institusi pendidikan, persatuan dan kelab tempatan.
“Penyaluran peruntukan ini diharap dapat membantu memperkukuh pengurusan organisasi di peringkat komuniti serta melancarkan pelaksanaan program pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Jelasnya, agihan peruntukan tersebut memberi fokus kepada kategori sekolah (PIBG), kelab sukan serta jawatankuasa rumah panjang bagi menyokong pembangunan modal insan dan aktiviti belia di kawasan luar bandar.
Turut hadir Timbalan Residen Kapit Robert Liman Deli, Wakil Pegawai Daerah Bukit Mabong SAO George Jandok, Pegawai Tanah Jabatan Tanah dan Survei Adline Nam, Wakil Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit, PKP Richard Nyalau serta pemimpin masyarakat tempatan termasuk penghulu dan tuai rumah dari kawasan Baleh dan Mujong.
Hadir sama, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Hulu Rajang. – EDISI UKAS