Pengunjung Hargai Inisiatif Program Sarawakku Sayang 2026
BINTULU: Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu terus menerima maklum balas positif daripada pengunjung yang menyifatkan penganjuran program tersebut memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.
Raffi Razali berkata, program berkenaan membuka peluang kepada masyarakat pelbagai etnik untuk mengenali dengan lebih dekat fungsi serta perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan.
Menurut beliau yang berasal dari Daro dan kini menetap di Jepak, pendekatan turun padang seperti itu wajar diteruskan kerana mampu meningkatkan pengetahuan serta memberi pendedahan secara langsung kepada masyarakat.
“Program Sarawakku Sayang ini sangat bagus untuk semua etnik di Sarawak terutama masyarakat di sekitar Bintulu seperti kaum Iban, Melanau dan Melayu.
“Pendekatan seperti ini juga memberi peluang kepada pengunjung mengenali pelbagai agensi kerajaan dan menambah pengetahuan melalui reruai yang disediakan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini.
Sementara itu, Syazwani Arzmi berkata, program tersebut turut memberi peluang kepada golongan muda khususnya lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan dan pendidikan.
Katanya, pengumpulan pelbagai agensi kerajaan di satu lokasi memudahkan orang ramai memperoleh informasi berkaitan kemudahan, bantuan serta inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Program seperti ini wajar diteruskan kerana orang ramai dapat berhubung secara terus dengan pelbagai agensi kerajaan.
“Selain itu, golongan muda dan lepasan sekolah juga dapat mengetahui peluang pekerjaan, peluang melanjutkan pelajaran serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS