Naik Taraf Stadium Terbuka Miri Demi Keselesaan Atlet, Komuniti
MIRI: Usaha menaik taraf kemudahan sukan di Stadium Terbuka Miri akan terus diperkasa bagi memastikan fasiliti yang disediakan berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan atlet serta masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, lawatan kerja beliau bersama rombongan ke stadium tersebut pagi tadi bertujuan meninjau sendiri keadaan fasiliti yang memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Menurut beliau, projek berkenaan akan melibatkan kerja membaik pulih beberapa kemudahan utama bagi memastikan stadium tersebut kekal selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan atlet serta orang awam.
“Selepas tinjauan ini, saya telah meminta pihak jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri untuk menyediakan pelan perancangan serta anggaran kos penyelenggaraan bagi stadium ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut pada Isnin.
Tambah beliau, pelan perancangan dan anggaran kos yang disediakan itu akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan serta Premier Sarawak bagi mendapatkan kelulusan peruntukan.
Beliau optimis pelaksanaan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan tersebut akan memberi manfaat besar kepada atlet di Bahagian Miri khususnya serta Zon Utara amnya dalam menjalani latihan dan aktiviti sukan dalam persekitaran yang lebih selesa dan berkualiti. -EDISI UKAS