Usahawan MINTRED Perluas Pasaran Melalui Sarawak Harvest and Folklore Festival 2026
KUCHING: Penyertaan usahawan tempatan dalam platform pelancongan dan kebudayaan terus diperkasa sebagai usaha memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sarawak.
Usaha tersebut diterjemahkan menerusi penglibatan sembilan usahawan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dalam Sarawak Harvest and Folklore Festival 2026 yang berlangsung pada 23 hingga 24 Mei lepas di Kampung Budaya Sarawak.
Festival berkenaan menghimpunkan elemen kebudayaan, pelancongan dan keusahawanan dalam satu platform bersepadu sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Para usahawan yang terlibat mewakili pelbagai sektor termasuk kraftangan tradisional, produk makanan dan perusahaan berasaskan komuniti yang mencerminkan keunikan serta kepelbagaian hasil tempatan Sarawak.
Penyertaan dalam festival tersebut bukan sahaja memberi pendedahan perniagaan secara langsung kepada usahawan, malah membantu memperluas jaringan kerjasama strategik serta meningkatkan potensi penembusan pasaran yang lebih luas.
Inisiatif itu turut membuktikan bahawa platform pelancongan dan kebudayaan mampu menjadi medium efektif dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan secara mampan dan berdaya saing.
Kerajaan Sarawak melalui MINTRED kekal komited memperkukuh pembangunan PKS tempatan dengan menyediakan lebih banyak peluang promosi dan pemasaran menerusi penganjuran program berimpak tinggi pada masa hadapan. -EDISI UKAS