Program Agihan Bakul Makanan Bantu Ringankan Beban Penduduk Tellian Laut
MUKAH: Seramai 30 penduduk sekitar Kampung Tellian Laut menerima bantuan bakul makanan menerusi Program Agihan Bakul Makanan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tellian Laut bersama Unit SABERKAS Tellian Laut.
Program diadakan baru-baru ini sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat setempat selain membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Ia turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine sekali gus menyempurnakan agihan bantuan tersebut.
Menurut beliau, program kebajikan seperti itu penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa diberi perhatian, khususnya melibatkan golongan yang memerlukan bantuan.
“Usaha seumpama ini mencerminkan semangat prihatin dan kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, pertubuhan belia serta penduduk kampung dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Royston turut menzahirkan penghargaan kepada JKKK Kampung Tellian Laut dan Unit SABERKAS Tellian Laut atas komitmen berterusan dalam melaksanakan program kebajikan demi manfaat masyarakat setempat.
Tambahnya, semua pihak perlu bersama-sama menjaga kebajikan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Penghulu Besiri Keri, Ketua Kaum Kampung Tellian Laut Seliman Tambi, Pengerusi Unit SABERKAS Tellian Laut, Mohamad Sulaiman serta ahli-ahli JKKK Kampung Tellian Laut. - EDISI UKAS