UNIMAS Perkasa Laluan APEL, Buka Peluang Pendidikan Tinggi Kepada Semua
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperluas akses pendidikan tinggi menerusi Program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang menyediakan laluan alternatif kepada individu berpengalaman kerja tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pengarah Pusat APEL UNIMAS, Profesor Madya Ts Dr Rohana Sapawi berkata, UNIMAS merupakan satu-satunya universiti di Sarawak yang melaksanakan penilaian APEL melibatkan tiga kategori utama iaitu APEL A, APEL C dan APEL Q.
Menurut beliau, APEL A membolehkan kemasukan ke universiti melalui penilaian khas, APEL C memberi peluang pemindahan kredit berdasarkan pengalaman kerja, manakala APEL Q menawarkan pengiktirafan akademik kepada individu berpengalaman melalui penilaian yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Program ini terbuka kepada semua golongan termasuk sektor awam, swasta, suri rumah, pesara serta bukan warganegara, asalkan mempunyai pengalaman terdahulu yang relevan,” katanya ketika ditemu bual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Profesor Madya Ts Dr Rohana berkata, bagi APEL A, penilaian ditawarkan untuk kemasukan ke peringkat sijil (T3), diploma (T4), ijazah sarjana muda (T6), sarjana (T7) dan kedoktoran (T8) mengikut syarat umur serta pengalaman kerja yang ditetapkan.
Ujarnya, calon yang lulus akan menerima sijil daripada MQA yang boleh digunakan untuk memohon kemasukan ke universiti awam atau swasta di seluruh negara.
“Sebagai contoh, individu yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi mempunyai pengalaman bekerja boleh terus melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda tanpa perlu mengambil Diploma terlebih dahulu,” ujar beliau.
Beliau berkata, calon yang berminat perlu mendaftar terlebih dahulu melalui laman sesawang MQA Malaysia sebelum meneruskan pendaftaran dalam sistem APEL UNIMAS.
“Calon juga dikehendaki menghantar portfolio pengalaman serta menjalani penilaian aptitud yang merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Asas dan Pengetahuan Am.
“Bagi peringkat sarjana, calon turut perlu melalui sesi temu duga sebagai sebahagian daripada proses penilaian,” tambahnya sambil menyeru lebih ramai masyarakat memanfaatkan laluan APEL bagi meningkatkan kelayakan akademik serta memperkukuh pembangunan kerjaya masing-masing.
Sejak diperkenalkan pada 2022, UNIMAS telah menawarkan penilaian APEL bagi peringkat sijil hingga sarjana dan baru-baru ini menerima kelulusan daripada MQA untuk melaksanakan penilaian di peringkat kedoktoran. -EDISI UKAS