Sarawak Tawar Subsidi RM10.2 Juta Galak Penyertaan Skim Solar Atas Bumbung Melalui NEM
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) menawarkan subsidi berjumlah RM10.2 juta tahun ini bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memasang sistem solar atas bumbung menerusi skim Net Energy Metering (NEM).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, subsidi tersebut disediakan khusus untuk pelanggan domestik bagi membantu mengurangkan kos pemasangan awal sistem solar atas bumbung yang dianggarkan bernilai antara RM15,000 hingga RM50,000.
Menurutnya, subsidi tersebut akan mengurangkan kos pemasangan antara RM8,000 hingga RM12,000 sekali gus membantu mengurangkan beban kos pemasangan awal dalam kalangan pelanggan skim NEM.
“Kita menyedari bahawa peralihan tenaga tidak dapat dicapai oleh kerajaan dan industri semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada rakyat.
“Melalui skim NEM, pelanggan bukan sahaja berperanan sebagai pengguna tenaga (energy consumers), malah turut menjadi pengeluar tenaga (energy producers) sekali gus menyumbang kepada peningkatan campuran tenaga boleh baharu ke dalam Grid Utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pemeteran Tenaga Bersih di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Isnin.
Tambahnya, inisiatif NEM juga menyokong usaha Sarawak dalam menangani cabaran ‘energy trilemma’, iaitu mengimbangi aspek kemampuan kos, kelestarian dan keselamatan tenaga.
Ujarnya, dalam landskap tenaga global yang tidak menentu akibat turun naik harga bahan api dan gangguan rantaian bekalan, Sarawak kekal berada pada kedudukan yang kukuh melalui campuran penjanaan tenaga yang pelbagai.
Hadir sama, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) Ir Ts George Lee Chun Lung, Pengarah Bahagian Bekalan Elektrik MUT Ir Ts Muhammad Randie Abdullah, Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat SEB Marconi Madai, Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS