Pengguna Boleh Jimat Sehingga RM6,000 Setahun Melalui Pemasangan Solar Atas Bumbung
KUCHING: Pengguna domestik berpotensi menjimatkan sehingga RM6,000 setahun menerusi pemasangan sistem solar atas bumbung di bawah skim Net Energy Metering (NEM).
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Yusri Safri berkata, bagi pengguna yang mempunyai bil elektrik sekitar RM700 sebulan, pemasangan sistem solar berkapasiti antara 12 hingga 15 kilowatt mampu mengurangkan bayaran bil bulanan kepada sekitar RM100 lebih sahaja.
Menurutnya, jumlah penjimatan bergantung kepada kadar penggunaan elektrik sesebuah isi rumah yang boleh mengurangkan bayaran bil bulanan.
“Ini bermakna pengguna boleh menjimatkan kira-kira RM500 sebulan atau sekitar RM6,000 setahun.
"Dalam tempoh tiga tahun, pengguna berpotensi menjimatkan antara RM18,000 hingga RM20,000 dan jumlah tersebut berkemungkinan dapat menampung kos pemasangan sistem solar termasuk subsidi yang diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pemeteran Tenaga Bersih yang disempurnakan oleh Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, pulangan pelaburan (ROI) bagi pemasangan sistem solar atas bumbung boleh dicapai dalam tempoh sekitar tiga tahun dengan adanya subsidi yang disediakan kerajaan.
Katanya, tanpa subsidi tersebut, kos pemasangan sistem solar sudah tentu lebih tinggi dan memerlukan tempoh lebih panjang untuk mendapatkan pulangan pelaburan.
Difahamkan setakat ini, subsidi tersebut telah membantu pelaksanaan 184 pemasangan kediaman di seluruh Sarawak dengan kira-kira 800 permohonan telah diterima di bawah skim NEM sekali gus menunjukan perkembangan berterusan dalam memperluas akses kepada tenaga boleh diperbaharui.
Justeru, beliau menggalakkan lebih ramai pengguna domestik mengambil peluang menyertai skim NEM yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak sejak tahun 2021 bagi mengurangkan kos bil elektrik serta menyokong agenda tenaga boleh baharu negeri. -EDISI UKAS