13 KMKK Iban Muara Tuang Terima Sumbangan Khas Sempena Gawai
KOTA SAMARAHAN: Seramai 13 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) masyarakat Iban di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima sumbangan khas berupa wang tunai dan 35 kotak air minuman sempena sambutan Hari Gawai.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Speaker DUN Sarawak yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Khas dan Agihan Air Minuman KMKK DUN Muara Tuang di Rumah Rehat Pejabat Daerah Samarahan, di sini, pada Isnin.
Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan dan terima kasih atas inisiatif murni Kelab KMKK DUN Muara Tuang dalam menganjurkan program tersebut.
“Saya berharap usaha sebegini dapat diteruskan sebagai platform mengukuhkan silaturahim antara pemimpin dan KMKK, terutamanya menjelang sambutan Gawai,” ujarnya.
Program yang dianjurkan oleh Kelab KMKK DUN Muara Tuang bersama Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang itu bertujuan menghargai sumbangan ketua kaum dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan masyarakat setempat serta membantu mereka dalam persiapan menyambut Hari Gawai. -EDISI UKAS