Kerajaan Sarawak komited percepat penyukatan tanah NCR
SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus komited mempercepat proses penyukatan dan pengeluaran hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sehingga kini kira-kira 1.2 juta hektar tanah NCR telah berjaya disukat daripada hampir tiga juta hektar kawasan yang dikenal pasti untuk tindakan pengukuran.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta setiap tahun bagi memastikan proses penyukatan dan pengeluaran hak milik tanah rakyat dapat dipercepatkan.
Katanya, pelaksanaan tersebut bukan sahaja melibatkan pendekatan di bawah Seksyen 6, malah turut diperluaskan menerusi Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi memastikan tanah terlibat dapat diberikan hak milik secara teratur dan sah di sisi undang-undang.
“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam menyelesaikan isu tanah NCR dan usaha ini bukan baru dimulakan ketika hampir pilihan raya, sebaliknya telah berjalan sejak sekian lama secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak (IAC), pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi dalam proses penyukatan ialah ketiadaan penuntut tanah ketika kerja pengukuran dijalankan sehingga menyukarkan penetapan sempadan secara bersama.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama sepanjang proses pengukuran bagi memastikan urusan hak milik dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan lancar.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut menambah seramai 367 kakitangan baharu bagi memperkukuh keupayaan Jabatan Tanah dan Survei di seluruh Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa isu NCR tidak lagi wajar dijadikan modal politik kerana kerajaan terus melaksanakan usaha penyelesaian secara konsisten demi kepentingan rakyat.- EDISI UKAS