Festival Kebudayaan Semarakkan Semangat Perpaduan Masyarakat Majmuk
LIMBANG: Penganjuran festival kebudayaan dilihat mampu menyemarakkan semangat perpaduan masyarakat majmuk di samping memelihara warisan budaya agar terus dikenali oleh generasi muda dan generasi akan datang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha menganjurkan program secara konsisten bukan sahaja menghidupkan suasana komuniti, malah memperkukuh identiti budaya setempat.
“Festival seperti ini bukan sekadar hiburan, tetapi platform penting untuk meraikan kepelbagaian kaum di Limbang serta memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Malam Konsert Northern Region Music Festival (NRMF) Edisi Ke-6 2026 pada Sabtu.
Beliau berkata, festival tersebut telah menjadi antara acara tahunan utama di daerah berkenaan sejak diperkenalkan pada 2019, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara penting dalam menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum melalui penganjuran aktiviti berteraskan seni dan budaya.
Menurutnya, festival tersebut kini tersenarai dalam kalender rasmi Jawatankuasa Perayaan Utama Bahagian Limbang, yang menghimpunkan pelbagai program sepanjang tahun.
Jelas beliau, penganjuran festival itu turut melengkapkan kejayaan program lain seperti AgroFest, selain menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai acara berasaskan kaum pada bulan-bulan berikutnya.
“Pada Jun, kita akan menyambut Pesta Babulang bagi kaum Bisaya serta Gawai bagi kaum Iban. Seterusnya pada Ogos, perayaan kaum Kedayan diadakan, diikuti Festival Kebudayaan Cina pada September.
“Oktober pula menampilkan Pesta Badudun bagi kaum Melayu serta Pesta Nuba Laya untuk kaum Lun Bawang,” ujarnya.
Tambah beliau, kepelbagaian ini mencerminkan keharmonian masyarakat di Limbang yang terdiri daripada pelbagai etnik utama seperti Iban, Bisaya, Cina, Melayu, Kedayan dan Lun Bawang.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penglibatan golongan muda dalam persembahan kebudayaan yang diadakan, sekali gus membuktikan kesinambungan warisan budaya terus terpelihara.
“Penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan budaya ini tidak hilang ditelan zaman, sebaliknya terus hidup dan berkembang,” katanya.
Beliau juga memaklumkan beberapa program berskala besar termasuk Pesta Limbang akan dianjurkan pada September ini.
Hadir sama ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise, wakil Pegawai Daerah Limbang Danny David, Pengurus Stesen RTM Limbang Idzham Hadi Sidik, Ketua Polis Daerah Limbang Parum Niot dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Dr. Jakaria Rambli.-EDISI UKAS