MIRI: Kestabilan politik dan perpaduan rakyat terus menjadi kekuatan utama yang membolehkan Sarawak memainkan peranan penting dalam Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, Sarawak hari ini mempunyai jawatan Timbalan Perdana Menteri, Presiden Dewan Negara, lima Menteri penuh dan lima Timbalan Menteri dalam Kerajaan Persekutuan.
“Kerana kestabilan politik dan perpaduan rakyat, negeri kita dihormati dan diberi peranan penting dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Gawai Poyut–Lubok Nibong 2026 di Marudi, pada Ahad.
Menurut beliau, kestabilan politik yang dinikmati turut memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pendapatan negeri meningkat daripada sekitar RM6.5 bilion pada tahun 2017 kepada lebih RM14 bilion pada tahun 2025.
“Kestabilan membolehkan pemimpin negeri memberi tumpuan untuk meneroka sumber-sumber pendapatan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf kepelbagaian masyarakat serta menggalakkan setiap etnik mengekalkan dan mempromosikan budaya serta tradisi masing-masing.
“Kita amat bangga kerana Sarawak terkenal sebagai negeri yang aman, stabil dan harmoni. Keharmonian antara kaum di negeri ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, pelbagai program kebudayaan terus diberi sokongan termasuk sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri, Baram Regatta, pesta kebudayaan di Long Lama dan Pesta Nukenan di Bario.
Pada majlis sama, Datuk Gerawat turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Pengelola Pra Gawai 2026 sebagai penghargaan atas usaha menjayakan program berkenaan.
Hadir sama Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang dan Ketua Masyarakat Iban Daerah Marudi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perayaan Pra Gawai Marudi 2026, Pemanca Randi Bundan. - EDISI UKAS