Setiausaha Kerajaan Sarawak Seru Penjawat Awam Hayati Nilai Pengorbanan
KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyeru warga Perkhidmatan Awam Sarawak agar terus menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M.
Menurut beliau, Aidiladha bukan sekadar sambutan keagamaan, malah membawa pengertian besar tentang pengorbanan dan keikhlasan dalam kehidupan serta perkhidmatan kepada masyarakat.
“Aidiladha mengingatkan kita bahawa kejayaan dan kemakmuran tidak akan dapat dicapai tanpa pengorbanan dan keikhlasan.
"Ia juga mengajar kita untuk sentiasa bersyukur, berkongsi rezeki dan memperkukuh hubungan sesama insan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M pada Selasa yang turut dizahirkan bersama isteri, Dato’ Baduyah Bujang.
Tambah beliau, nilai-nilai murni Aidiladha perlu dijadikan pegangan utama dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus dipertingkatkan.
“Marilah kita menjadikan semangat Aidiladha sebagai dorongan untuk memperbaharui tekad dan meningkatkan mutu perkhidmatan kita demi kemakmuran Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut berharap sambutan Aidiladha tahun ini dapat membawa keberkatan, memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini. -EDISI UKAS