KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneliti semula struktur yuran levi pekerja asing dengan mengambil kira situasi ekonomi semasa serta pandangan pihak industri yang terkesan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sesi libat urus bersama pihak berkaitan sedang dilaksanakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala sebelum keputusan dibuat.
“Saya menunggu rekomendasi dan juga laporan selepas itu kita akan membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demkikan ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani kontrak antara PTTEP Sarawak Oil Limited dan Brooke Holding Sdn Bhd (BHSB) bagi Projek Platform Pengeluaran Sirung di sini, pada Selasa.
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri mengambil pendekatan berbincang dengan syarikat terlibat selain menilai semula struktur levi berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan keperluan pihak swasta.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan kadar levi berkenaan atau menyemak semula struktur sedia ada agar lebih bersesuaian dengan keperluan industri.
Mengikut laporan media, kenaikan levi pekerja asing daripada RM904 kepada RM1,484 yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 sebelum meningkat kepada RM1,854 pada 1 Januari 2027 menerima bantahan daripada pemain industri kerana dijangka meningkatkan kos operasi syarikat terlibat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery