39 Organisasi Di Kakus Terima Peruntukan MRP Hampir RM1 Juta
TATAU: Sebanyak 39 organisasi di kawasan Kakus menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM978,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti dan pembangunan luar bandar.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata penerima melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelbagai persatuan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan perlu dimanfaatkan secara berhemah dan digunakan sepenuhnya untuk pembangunan komuniti termasuk penambahbaikan rumah panjang serta aktiviti kemasyarakatan.
“Saya mahu semua penerima menggunakan peruntukan ini dengan sebaiknya dan bukan dibahagikan dalam bentuk wang tunai.
“Setiap penggunaan dana perlu dibentangkan dalam mesyuarat JKKK supaya pengurusan kewangan lebih telus dan teratur,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan MRP Kakus di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tatau pada Selasa.
Tambah beliau, kawasan Kakus yang mempunyai lebih 400 rumah panjang merupakan antara kawasan yang mempunyai jumlah rumah panjang terbanyak di Sarawak menyebabkan penyaluran peruntukan dilaksanakan secara berperingkat.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong mengingatkan semua penerima supaya mengemukakan laporan perbelanjaan kepada pihak Pejabat Daerah bagi tujuan rekod dan pemantauan penggunaan peruntukan.
Menurut beliau, laporan lengkap yang dibentangkan semasa mesyuarat JKKK rumah panjang penting bagi memastikan pengurusan dana lebih telus selain mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan penggunaan peruntukan yang diterima.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Susan Clement Ingun, Timbalan Pegawai Daerah Tatau Winnie Dian, Penghulu Jeffery Irut serta Penghulu Nelson Chuat Glong. -EDISI UKAS