Kempen Keselamatan Jalan Raya Samarahan Tingkat Kesedaran Pengguna
SIMUNJAN: Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan terus dilaksanakan secara tahunan sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan ketika menggunakan jalan raya.
Penganjuran program berkenaan bertujuan memupuk budaya pemanduan berhemah selain mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk memeriksa keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan.
Seorang bekas penjawat awam, Mohammad Yaman menyifatkan kempen sedemikian sebagai inisiatif yang amat baik dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
“Keselamatan di jalan raya sebenarnya bermula daripada diri kita sendiri.
“Langkah keselamatan seperti memakai topi keledar dengan betul amat penting bagi melindungi diri daripada kecederaan parah, di samping amalan memeriksa kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Hijrah Pasar 2 Simunjan, Khatina Amat berkata program seumpama itu memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, kempen tersebut secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap kesedaran pengguna mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Program berkenaan turut digerakkan menerusi kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Antara agensi terlibat ialah Kementerian Pengangkutan Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak, Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), pejabat-pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Samarahan, Majlis Daerah Simunjan serta Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Samarahan.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli dan Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad.-EDISI UKAS