MTPN & UKAS Perkukuh Kerjasama Kepenggunaan dan Komunikasi Awam
KUCHING: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mengadakan kunjungan hormat kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh kesedaran serta perlindungan pengguna di Sarawak.
Ketibaan delegasi MTPN diketuai oleh Ketua MTPN Wilayah Sarawak, Lucas Lau bersama barisan ketua-ketua biro MTPN disambut oleh Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan di ibu pejabat UKAS, Bangunan Baitul Makmur di sini pada Selasa.
Dalam sesi pertemuan tersebut, MTPN turut memperkenalkan peranan dan fungsi organisasi itu sebagai platform memperjuangkan hak pengguna melalui pengendalian aduan, pendidikan kepenggunaan, jambatan komunikasi antara pengguna dan agensi berkaitan serta pelaksanaan pensijilan dan penyeliaan.
Menurut pihak MTPN, pendekatan kolaboratif bersama UKAS penting dalam memastikan penyampaian maklumat berkaitan kepenggunaan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Kerjasama strategik antara kedua-dua pihak juga mampu memperluaskan program advokasi pengguna serta meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu kepenggunaan semasa.
Sementara itu, Awang Putrayusrie juga menyambut baik kunjungan tersebut dan berharap hubungan yang terjalin dapat membuka ruang kepada pelbagai inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pertemuan itu turut menjadi platform perbincangan awal bagi mengenal pasti bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan, termasuk program pendidikan pengguna dan kempen kesedaran awam di Sarawak.-EDISI UKAS