Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Bantuan Rakyat Melalui SKAS
BINTULU: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh agenda kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif bantuan sosial termasuk Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata bantuan keperluan asas khususnya makanan merupakan antara aspek paling penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, pelaksanaan SKAS menjadi antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu golongan yang memerlukan agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.
“Kerajaan Sarawak telah membantu dari segi keperluan asas, perkara paling penting seperti keperluan makanan agar dapat meringankan beban rakyat melalui SKAS. Itulah tujuan utamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Tahun 2026 Daerah Sebauh dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi DUN Kemena di Balai Raya BDA Sebauh pada Ahad.
Tambah beliau, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak terus komited memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Inisiatif Pendidikan Percuma Sarawak atau Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), Bantuan Kewangan Khas (BKK) kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta bantuan perumahan untuk golongan B40 dan M40.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan hasil pendapatan negeri bagi memastikan semua inisiatif bantuan kepada rakyat dapat diteruskan secara mampan.
Katanya, perpaduan rakyat serta semangat kebersamaan menjadi faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling, Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak Leonard Wilfred Yussin, wakil Ketua Polis Daerah Bintulu Inspektor Collin Havit serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Colin Patan.-EDISI UKAS