Lawas Disasar Jadi Pusat Ekonomi Dan Pembangunan Utara Sarawak
LAWAS: Lawas terus dipacu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan baharu di utara Sarawak menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik melibatkan infrastruktur, pendidikan dan pembangunan industri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Lawas mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab pembangunan masa depan termasuk dalam sektor ekonomi baharu, pembangunan kemahiran dan pelaburan industri.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak kini giat melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk jaringan jalan raya, jambatan, kawasan komersial, lapangan terbang baharu, pelabuhan serta kawasan perindustrian bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
“Kerajaan Sarawak juga terus memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan termasuk bantuan pendidikan, pusat pembangunan kemahiran dan pendidikan tinggi percuma bagi melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Bantuan Insentif Pelajar di Roxy Hotel pada Isnin.
Tambah beliau, pembangunan Lawas perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan agar rakyat khususnya golongan belia dapat memanfaatkan peluang ekonomi yang diwujudkan oleh kerajaan.
Katanya, generasi muda perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan dengan merebut peluang dalam bidang keusahawanan, ekonomi digital dan teknologi moden.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak agar tidak terjebak dengan gejala sosial dan penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan masa depan generasi muda.
Pada majlis tersebut, geran MRP disampaikan kepada 150 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), masjid, surau, persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, seramai 19 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Daerah Lawas 2025 dan 82 penerima insentif pelajar turut menerima bantuan sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik mereka.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Wilayah Northern Region Development Agency (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS