PTTEP, BHSB Meterai Kontrak Bangunkan Platform Pengeluaran Medan Sirung
KUCHING: PTTEP Sarawak Oil Limited dan Brooke Holding Sdn Bhd (BHSB) telah memeterai kontrak bagi penyediaan Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) Platform Pengeluaran Sirung yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Pemeteraian kontrak ini telah disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan pertukaran kontrak disempurnakan oleh Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi BHSB Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar dan Pengurus Negara Aset Malaysia, PTTEP Sarawak Oil Limited Vitoon Chaisomboonpan.
Difahamkan, kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada BHSB pada 5 Februari lepas dengan jangkaan siap pada Februari 2028.
Pembangunan Medan Sirung merupakan projek pembangunan medan hidrokarbon yang terletak kira-kira 140 kilometer dari kompleks Malaysia Liquefied Natural Gas (MLNG) di Bintulu dan akan menyokong operasi pengeluaran minyak dan gas di Blok Luar Pesisir SK405B.
Projek berkenaan melibatkan kira-kira 8,500 tan metrik komponen 'topside' dan substruktur, sekali gus menjadi skop 'topside' dan substruktur terbesar pernah dilaksanakan oleh BHSB dalam industri minyak dan gas.
Skop kerja merangkumi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan platform pengeluaran termasuk kerja penyambungan hos 'brownfield'.
Dalam pelaksanaannya, BHSB akan menggunakan limbungan fabrikasi di Demak Laut bagi struktur 'Jacket' manakala limbungan utama Sejingkat digunakan untuk pembinaan 'Topside'.
Menambah kepercayaan penganugerahan kontrak ini, BHSB sebelum in telah berjaya menyiapkan projek F6-VLAP untuk Sarawak Shell pada 2025 selain projek Platform Kepala Telaga Salbiah bagi Dialog Group dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd pada Mac 2026.
Kedua-dua projek tersebut mencatat pencapaian operasi signifikan terutama dari aspek keselamatan dan kualiti sepanjang pelaksanaan projek.
Selain sektor tenaga, syarikat itu turut berjaya menyerahkan projek Muzium Maritim Industri Brooke Dockyard yang diiktiraf sebagai projek pertama seumpamanya di Malaysia dalam usaha pemuliharaan bangunan keluli bersejarah.
Brooke Holding turut menyiapkan projek Jambatan Batang Saribas sepanjang 1.55 kilometer untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Hadir dalam majlis tersebut, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery