Projek Sirung-Chenda Dijangka Tingkatkan Pendapatan Sarawak Menjelang 2028
KUCHING: Projek pembangunan Sirung-Chenda dijangka menjadi antara pemacu utama peningkatan pendapatan Sarawak menjelang tahun 2028, selaras dengan usaha memperkukuh sektor tenaga negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan sasaran pengeluaran pertama pada tahun 2028 serta kapasiti gabungan sekitar 15,000 tong sehari, projek tersebut dijangka memberi impak besar kepada hasil negeri melalui pengukuhan industri minyak dan gas.
Tambahnya, dengan ketegangan geopolitik yang terus mengganggu harga pasaran minyak dan gas, pembangunan seperti Sirung kekal penting dalam pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu.
"Pembangunan bertanggungjawab sumber gas kita bukan sekadar peluang industri namun ia juga merupakan sumber strategik kekuatan fiskal, daya tahan ekonomi dan nilai jangka panjang untuk negeri serta rakyatnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani kontrak antara PTTEP Sarawak Oil Limited dan Brooke Holding Sdn Bhd (BHSB) bagi Projek Platform Pengeluaran Sirung di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Premier Sarawak memberitahu, hasil daripada projek tenaga ini dapat dilaburkan kembali dalam pembangunan awam seperti jalan raya, jambatan, sistem bekalan air, infrastruktur elektrik, sekolah, klinik, sambungan digital dan program bantuan sosial.
Tambahnya, pembangunan ini juga dapat menerobos lebih jauh daripada kawasan luar bandar Sarawak sekali gus terus memperkukuh pendidikan, kesihatan dan penyampaian perkhidmatan awam dengan lebih yakin dan berterusan.
"Apabila saya menyatakan bahawa projek seperti Sirung memberi manfaat kepada Sarawak, saya tidak maksudkan ia hanya dalam ukuran ekonomi petroleum sahaja.
"Saya maksudkan dalam bentuk jalan raya yang dibina, kampung yang dihubungkan, pelajar yang dibantu, perkhidmatan yang dipertingkatkan dan peluang yang diwujudkan," katanya.
Menurut beliau, melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), Sarawak akan terus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong industri strategik termasuk tenaga, minyak dan gas serta teknologi termaju. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery